Buat Pendukung Perjuangan: Perkukuhkan Saf, Mantapkan Iltizam

Saudara/i,

Saya sempat merenung panjang usul saudara/imengenai kedudukan parti tatkala didera dengan cuaca musim panas padang pasir.Secara keseluruhannya parti masih utuh namun belum cukup bergema.

Cuaca panas padang pasir di sekitar kota Manama, Bahrain. Kita bersyukur kerana secara keseluruhan parti terus utuh dan mantap walaupun kurang bergema. Berita positif dari segi penambahan ahli, penyertaan tokoh profesional dan korporat, penyeberangan ribuan ahli Umno dan MCA ke KeADILan tidak dihebah termasuk dalam media alternatif.

Dan yang banyak dihidang terutama dari media utama milik Umno-BN adalah fitnah dan serangan terhadap pemimpin dan parti. Cuitan kini banyak berpunca daripada media alternatif yang memihak tetapi banyak menyentuh individu yang sudah lama tidak muncul dalam wadah parti.

Saya masih yakin dengan gagasan dan wadah yang telah kita ikrarkan sebagai sumpah keramat bersama. Malah sungutan yang banyak diluahkan tidak menjurus kapada persoalan pokok perjuangan. Seringkali ada yang kurang arif dengan hakikat bahawa disiplin berjamaah menuntut saf pimpinan di pelbagai peringkat yang berlapang dada, bersedia meningkat muafakat dan tidak pantas menghukum, bebal dan mudah menyisihkan kelompok yang dikira
tidak sehaluan.

Dan yang lebih mengkhuatirkan ialah apabila perbedaan yang diwarwarkan sebagai prinsip tidak lebih dari cemburu, saingan peribadi atau asabiyah kelompok. Maka kita berserabut dengan kerenah peribadi, singgung menyinggung serta tafsiran masing-masing. Maka kongres yang sewajarnya dimanfaatkan menjana semangat baru menjadi sedikit hambar. Pun begitu,semangat akar umbi kian terlihat dengan jelas,menggambarkan bahawa nafas perubahan kian hidup.

Justeru itu saya ingin mengajak saudara/i, di saat genting ini untuk kembali menggilap semangat perjuangan yang kita taja bersama. Baca, telaah dan hadham semula Perisytiharan Permatang Pauh dan Agenda Pembaharuan sebagaimana yang termaktub di dalam Manifesto tahun 1999. Ini termasuk isu agama, pendidikan dan juga DEB.

Justeru saya berulangkali menegaskan bahawa parti tidak mampu dan tidak akan mengizinkan mana jua tokoh atau kelompok yang dilihat sebagai juara kaum atau ketua kabilah dengan sosok keras tanpa mempedulikan kenyataan politik bahawa pengalaman mengharungi rintangan 8 tahun menuntut kita memilih strategi yang lebih hikmah.

Saya telah mengajak rakan-rakan melihat semula kerangka besar perjuangan reformasi dan menjana perubahan; lebih tawaddu’ menerima kelemahan dan keterbatasan, menerima kenyataan bahawa rakyat dan umat melayu khususnya menginginkan pendekatan yang lebih sederhana dan yang dikira amat kritikal ialah memelihara adab berjemaah.

Jangan kita sentiasa lupa bahawa menjelang pilihanraya fitnah terhadap parti dan perpecahan akan bersepah dan kemungkinan ganjaran serta ugutan bertambah untuk menarik keluar sebahagian aktivis.

Seperti yang giat saya lakukan, Sdr juga perlu mengadakan pertemuan informal dgn pelbagai kelompok tanpa mengira sosok tetapi yang mewakili majoriti, agar pendekatan kita tidak sekadar memenuhi selera kelompok kecil sahaja. Kadangkala saya dapat merasakan, hanya kerana mereka telah bekorban dan setia sekian lama, maka saya mesti terus tunduk kepada tekanan mereka.

Ini termasuk Ketua-Ketua Bahagian yang kekal memimpin tetapi hanya kekal dengan 30 – 40 ahli tatkala perjuangan melangkaui usia 8 tahun. Mustahil saya lupakan pengorbanan mereka, tetapi perjuangan perlu lebih mantap,lebih menampakkan hasil yang positif. Seandainya mereka benar jujur dan setia kepada perjuangan, mereka akan bersedia memberi laluan, menarik tokoh baru termasuk di kalangan wanita dan pemuda. Sepertimana yang saya saksikan di kalangan ramai tokoh bahagian, mereka kekal gagah kerana terus bekerja kuat di belakang tokoh baru.
Mereka jelas setia kdpada perjuangan dan bukan pada diri sendiri…

Yang perlu dihebahkan adalah dasar, memperkenalkan barisan kepimpinan mantap, menghebahkan kegiatan, strategi dan program latihan parti.

Saya ulangi: kerja harus dalam saf jamaah, lebarkan jaringan dan tembusi kelompok baru dan jangan sekali-kali angkuh merasakan kita sudah cukup hebat dengan kabilah yang sama

Fokus harus ditumpukan kepada memperkasa gerakan berasaskan kepada mauduk utama perjuangan, tanpa mengira sentimen peribadi, kaum mahupun kabilah tertentu. Kita kian menggendong harapan rakyat yang semakin hari kian tertindas.

Saya secara peribadi bersedia menerima teguran dan berganjak strategi sekiranya wajar. InshaAllah kita mampu membawa perubahan

ANWAR IBRAHIM

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: