Dasar Jaminan Wanita

Debat tentang hak wanita adalah sesuatu yang biasa kita temukan. Namun polisi yang benar-benar konstruktif bagi menjadi agen penyelesai yang mengungkai masalah wanita masih belum menjadi dasar yang boleh kita harapkan.Jelas, wanita dewasa ini semakin hebat diterjah dengan pelbagai isu yang menggugat jaminan hidup wanita. Peningkatan kadar jenayah yang membabitkan wanita atau jenayah terhadap wanita, hakikat bahawa wanita masih disifatkan kelas kedua dari segi pekerjaan dan pendidikan tidak mencerminkan perubahan yang diharapkan setelah 50 tahun Kemerdekaan Malaysia kita kecapi.

Melihat kepada itu, Wanita KeAdilan menyeru agar kerajaan dan badan-badan swasta yang terlibat merangka dasar dan undang-undang yang memberi satu jaminan kepada wanita. Dalam erti kata lain, wanita memerlukan Dasar Jaminan Wanita (“Women’s Security”) untuk memastikan yang wanita dapat memenuhi tuntutan dan keperluan wanita di Malaysia.

Tiga (3) aspek kritikal yang perlu dimasukkan di bawah “Dasar Jaminan Wanita” adalah berikut : Keselamatan, Pekerjaan, Pendidikan

Wanita sering diingatkan untuk siap siaga dan sedia. Tetapi, jarang sekali kedengaran langkah khusus untuk memberi jaminan keselamatan khusus buat wanita.

Masalah-masalah yang jelas membantut kecemerlangan wanita adalah tidak cukupnya peluang untuk wanita bekerja dengan selamat, bebas dan tanpa diskriminasi. Walaupun wanita banyak yang berjaya ke menara gading, masih jelas terdapat “glass ceiling” atau hambatan maya yang wujud di dalam struktur-struktur organisasi sekarang. Kepimpinan wanita umumnya masih tidak membentuk 30% daripada mereka yang merangka keputusan (decision-making capacity) di organisasi kerajaan mahupun swasta di Malaysia.

Selanjutnya, status wanita yang tinggal sebagai ibu tunggal seakan-akan terbiar, tanpa langkah konkrit untuk membantu mereka meneruskan hidup dan menanggung beban menguruskan keluarga. Ketebalan hambatan birokrasi di dalam proses perceraian di Mahkamah, kesukaran mendapat bantuan sara hidup dan sebagainya adalah sekelumit kecil daripada pelbagai masalah yang menggugat kesejahteraan wanita. Dasar Jaminan Wanita wajib memberi bantuan istimewa dari segi peluang pekerjaan dan pendidikan kepada wanita yang memerlukan terutamanya bagi mereka yang berstatus ibu tunggal. Dasar yang berbentuk bantuan sokongan bagi golongan tertentu atau affirmative action tidak seharusnya berdasarkan kaum seperti Dasar Ekonomi Baru, tetapi berdasarkan kepada keperluan. Di sini, Wanita KeAdilan berpendapat bahawa Dasar Jaminan Wanita menuntut kewujudan dasar khusus membantu wanita yang berstatus ibu tunggal dan mempunyai masalah kewangan.

Wanita KeAdilan mencabar kerajaan agar mengeluarkan dasar yang benar-benar membela nasib wanita. Setakat ini, kita hanya mendengar tentang dasar-dasar yang diwar-warkan tanpa pelaksanaan kukuh untuk membela wanita. Hal seumpama ini perlu berubah dengan segera.

Wanita KeAdilan dengan ini mendesak penggubalan satu Dasar Jaminan Wanita. Hanya dasar yang pro kepada memberi Jaminan Wanita akan menjadi sandaran dan cagaran yang mampu memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada wanita Malaysia. Wanita Malaysia sesungguhnya perlu merdeka dari ketakutan dan kekurangan yang mencengkam dan menggugat mereka.

Noorsham bt Abu Samah
Naib Ketua
Wanita Parti KeADILan Rakyat

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: