Penduduk Plentong Tengah diberi peluang hingga 31 Dis

Penduduk Kampung Baru Plentong Tengah akhirnya terpaksa berpindah selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak rayuan mereka untuk kekal di kawasan tersebut sehingga rumah mereka siap. Bagaimanapun pesuruhjaya kehakiman Datuk Hue Siew Kheng membenarkan lebih 2,000 orang tinggal di situ, sebuah perkampungan Melayu yang dibuka sejak lebih 20 tahun lalu, sehingga 31 Disember ini.

Dua minggu lalu, syarikat pemaju Bukit Lenang Sdn Bhd mula menjalankan operasi merobohkan rumah-rumah di situ tetapi mendapat bantahan penduduk, aktivis dan ahli politik pembangkang.

Seramai 27 orang termasuk pemimpin PAS dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis lebih lapan jam kerana cuba menghalang peruntuhan rumah-rumah penduduk.”Saya telah membuat permohonan lisan dan merayu atas budi bicara hakim, jangan robohkan dahulu kerana ada tawaran daripada agensi kerajaan negeri Johor untuk menyediakan rumah transit di Taman Desa Mutiara,” kata Hassan Karim kepada Malaysiakini selepas keputusan itu.Beliau, yang bertindak sebagai peguam penduduk Plentong Tengah berkata, pihaknya memohon melanjutkan hingga tarikh berkenaan bagi membolehkan pemaju rumah sementara itu – yang terletak kira-kira 20 minit dari kampung tersebut – menyediakan prasarana termasuk elektrik dan air.

Penduduk kampung, jelas Hassan yang juga presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), bersetuju berpindah ke rumah pangsa tersebut setinggi lima tingkat. Terdapat 600 unit rumah di kawasan perumahan pangsa itu.Menurutnya, sekumpulan kecil penduduk membuat aku janji dengan peguam Bukit Lenang Sdn Bhd untuk keluar dari perkampungan itu menjelang 31 Disember ini.”Nampaknya mereka bersetuju dan ia direkodkan oleh mahkamah. Seramai 20 penduduk telah menandatangani aku janji tersebut,” tambah Hassan.Aku janji itu direkodkan oleh penolong pendaftar mahkamah Johor Bahru bertujuan mengelakkan berulang ketegangan baru antara penduduk dan pemaju, tambahnya.

Sementara itu, ketua Umno cawangan Kampung Baru Plentong Tengah, Mohd Shaari Mohd Sham akan mengadakan mesyuarat dengan penduduk bagi membincangkan langkah seterusnya setelah mahkamah menolak rayuan mereka.”Saya akan berbincang dengan penduduk kampung berhubung dua perkara. Pertama, pengurusan rumah transit dan kedua, pembangunan dan perkembangan penempatan baru di Bukit Dagang,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, mereka akan bermesyuarat pada malam ini atau pagi esok.Beliau juga merancang bertemu pegawai daerah Johor Bahru jam 11 pagi esok untuk mengetahui kemajuan pembinaan penempatan mereka di Bukit Dagang.

Ditanya bagaimana perasaan penduduk setelah mendengar keputusan rayuan mereka itu, beliau berkata:”Mereka menerima keputusan mahkamah dan mereka tidak kecewa jika hendak dibandingkan dengan tindakan perobohan yang begitu drastik (16 September).”Mengulas sama ada mencukupi jumlah rumah transit yang diberikan kepada lebih 300 keluarga, beliau berkata: “Mencukupi dan tak ada masalah.”

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: